[Feature Article] Utusan Malaysia: Bantu kanak-kanak autisme berjaya

In a feature interview with Utusan Malaysia, our director Jochebed Isaacs talked about how Applied Behavioural Analysis (ABA) is the most evidence-based treatment to date for autism.

---

Bantu kanak-kanak autisme berjaya

Published in: Utusan Malaysia

Published on:1st September 2016

Written by: Mariatul Qatiah Zakaria

Statistik yang dikeluarkan oleh Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom) pada 2013 menyatakan setiap seorang daripada 150 kanak-kanak yang dilahirkan di seluruh dunia memiliki gejala autisme.

Daripada jumlah tersebut dianggarkan 47,000 kanak-kanak di Malaysia menghidapnya yang berumur antara enam bulan hingga lewat 20-an.

Dengan statistik tersebut, ibu bapa dinasihatkan agar peka dengan kelakuan anak masing-masing kerana sindrom autisme ini boleh dikesan dan dirawat pada peringkat awal.

Pengarah Early Autism Project Malaysia Sdn. Bhd., Jochebed Isaacs, berkata, 50 peratus kanak-kanak yang menghidap autisme mampu meyaingi rakan sebaya sekiranya mereka diberikan latihan yang mencukupi.

Tambahan lagi, angka tersebut merupakan satu angka yang tinggi, tetapi apa yang menyedihkan hari ini ialah masyarakat di negara ini tidak mengetahui mengenai hal tersebut. 

“Secara umumnya, autisme wujud dalam semua masyarakat tanpa mengira kaum serta juga umur. Disebabkan itulah ibu bapa seharusnya memberikan perhatian kepada perkembangan anak-anak sejak dari kecil lagi. Ini kerana sindrom autisme ini boleh dirawat, namun sekiranya dibiarkan berlarutan sehingga individu tersebut dewasa, keadaan mungkin sudah terlambat. Walaupun sehingga kini sindrom autisme belum ada penawar, tetapi sekurang-kurangnya pengetahuan ibu bapa mengenai sindrom ini dapat memberikan anak-anak autisme harapan baharu,” ujarnya ketika ditemui di pejabatnya di Bangsar, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai perkara tersebut, Jochebed berkata, pihaknya ada menawarkan program Analisis Aplikasi Tingkah Laku (Applied Behavioral Analysis -ABA) kepada kanak-kanak yang menghidap sindrom autisme.

Beritahunya lagi, program tersebut adalah satu-satunya rawatan berasaskan kajian dan terdapat lebih 1,000 artikel jurnal yang menyokong keberkesanan rawatan ABA ini.

Tuturnya, program ABA tersebut boleh diguna pakai pada semua penghidap autisme tanpa mengira tahap, tetapi mereka akan dikategorikan mengikut tahap kecenderungan masing-masing.

Ini kerana, program tersebut akan dilaksanakan secara individu dan mengikut pendekatan yang berbeza seperti kemahiran kompleks yang akan dipecahkan kepada komponen-komponen kecil, dipasangkan dengan ganjaran, dan diberikan latihan yang mencukupi.

Program ABA ini juga berfungsi berdasarkan prinsip-prinsip ‘pelaziman operan’ di mana tindakan yang diambil akan memberi kesan kepada tingkah laku yang semakin meningkat.

Mengulas lanjut mengenai program tersebut, Jochebed menjelaskan, ada lapan sebab keberkesanan program ABA iaitu program berciri tersendiri, waktu intensif (35 jam seminggu), pengajaran secara persendirian (1:1), intervensi awal, mulakan dengan kejayaan, pendekatan pembelajaran positif, pengawasan pelbagai tahap, dan program yang komprehensif.

Telah dilaksanakan sejak 10 tahun yang lalu, program ini telah dipraktikkan kepada lebih daripada 300 kanak-kanak autisme dari 30 buah negara seluruh dunia.

Menawarkan perkhidmatan bertaraf dunia, ABA merupakan satu program yang berasal dari Amerika Syarikat dan telah dipraktikkan di negara ini sejak tiga tahun lalu.

Disebabkan itu jugalah sebanyak 65 peratus pelajar EAP telah berjaya ditempatkan di sekolah-sekolah biasa dan melalui program tersebut juga sebanyak 77 peratus kanak-kanak autisme sudah boleh bercakap.

Daripada jumlah tersebut sebanyak 50 peratus kanak-kanak autisme sudah lancar dalam pertuturan manakala selebihnya baru hendak belajar berkomunikasi.

Sehubungan itu sempena ulang tahun yang ke-10, EAP akan menganjurkan EAP Annual Conference 2016 pada 8 Oktober ini di Hotel Vistana Kuala Lumpur.

Bertemakan Perkembangan Pertuturan dan Bahasa Dalam Kalangan Kanak-Kanak, pada persidangan itu nanti juga akan dilancarkan The Hope Project.

Yang pasti, penghidap sindrom autisme perlulah diberikan latihan yang berterusan agar masa hadapan mereka cerah.

Pada masa yang sama, ibu bapa memainkan peranan yang cukup penting dalam usaha memastikan anak-anak mereka dapat hidup seperti kanak-kanak normal yang lain.