Skip links

[Feature Article] Harian Metro: Intervensi Awal Mampu Beri Harapan

*Please note that this article is written in Malay, and if you’re reading an English version, this is a direct Google translation, and there may be grammatical errors and inaccuracies as a result.*

On the 13th of April, Jochebed Isaacs, our director, was featured in an interview in Harian Metro.

Kepentingan Pengesanan Awal Autisme

Published in: Harian Metro

Published on: 13th April 2016

Pengarah Early Autism Project Malaysia Sdn Bhd (EAP) Jochebed Isaacs berkata, perkara yang kita perlu faham mengenai masalah ini ialah anak yang dilahirkan dengan autisme dan bukan disebabkan oleh persekitaran sosialnya.

“Autisme ialah gangguan perkembangan otak kanak kanak yang menyebabkan mereka mengalami masalah komunikasi, interaksi sosial, pemikiran dan emosi serta menjejaskan pencapaian intelektual. Setiap anak autisme mengalami masalah yang berlainan antara satu sama lain sama ada jenis teruk dan ringan. Namun, bukan mudah untuk mengenai pasti anak autisme kerana ia memerlukan beberapa ujian tingkah laku daripada pakar psikologi klinikal atau psikiatri yang perlu dilakukan dengan teliti,” katanya.

Ujarnya, dua kategori gejala yang boleh dikesan pada anak autisme ialah defisit dalam komunikasi sosial dan interaksi. Kebiasaannya, anak autisme sukar untuk berkomunikasi dengan baik dan ada kalanya tidak memahami bahasa tubuh yang ditunjukkan oleh individu lain seperti pergerakan tangan atau pandangan mata.

Malah, mereka juga sukar berkawan dan ada antaranya yang langsung tidak tahu cara mendapatkan kawan. Malah, ada juga anak autisme yang kurang faham mengenai perkataan sensitif dan perkara yang tidak disukai oleh rakan terutama bagi mereka yang berusia tujuh tahun ke atas.

Ia sekali gus menyebabkan rakan mereka mula menjauhkan diri kerana menganggap anak autisme ini bersikap nakal sedangkan mereka tidak dapat mengenai pasti atau menyedari kesalahan yang dilakukan.

“Anak autisme ini juga gemar melakukan perkara disukai secara berulang atau terhad setiap hari. Misalnya, terlalu obses dengan permainan, pakaian atau makanan yang sama setiap hari sehingga langsung tidak mahu mencuba yang lain kerana mereka tidak sukakan perubahan. Ada kalanya, anak autisme ini langsung tidak memahami erti kesakitan walaupun jatuh berulang kali dan ini mungkin boleh menyebabkan mereka tercedera jika dibiarkan bersendirian,” katanya.

Bagaimanapun, jangan salah faham. Tidak semestinya jika anak terlalu gemar sesuatu permainan atau siri kartun digemari boleh dianggap sebagai autisme.

Ini kerana pemeriksaan dan penelitian tingkah laku dalam tempoh tertentu perlu dilakukan dengan pakar. Penilaian diagnostik dan perkembangan termasuk ujian IQ, perilaku adaptif dan bahasa memainkan peranan dalam pembentukan tingkah laku anak autisme yang lebih baik.

Terapi tingkah laku yang dijalankan akan mengambil masa kirakira sebulan untuk mengesan autisme tahap ringan. Namun, jika berada pada tahap teruk, ia akan mengambil masa beberapa bulan.

Pengesanan awal autisme boleh dijalankan seawal usia anak 18 bulan lagi. Justeru, intervensi atau pengesanan awal mampu memberi harapan kepada anak autisme dalam membentuk tingkah laku yang positif.

Guna Teknik ABA

Jelas Jochebed, setiap anak autisme mempunyai potensi dan harapan besar jika diberi perhatian sejak awal. Berdasarkan pengalamannya selama 10 tahun dalam bidang berkenaan, menerusi analisis perilaku terapan (ABA) ramai kanak-kanak autisme berupaya dilatih kemahiran komunikasi, sosial dan kendiri.

“ABA ialah dasar kepada pendekatan pembelajaran manakala terapi percakapan dan pekerjaan adalah kaedah kurikulum yang ditekankan untuk bahagian tertentu saja. ABA yang dibangunkan di Amerika sejak 1970 antara cabang analisis yang diperakui keberkesanannya dalam mengajar anak autisme secara berseorangan bukan berkumpulan. Sebanyak 50 peratus kanak-kanak yang melalui ABA berjaya melakukan perkara sama seperti perkara yang dilakukan oleh rakan sebaya mereka,” katanya.

Dalam pendekatan yang dilakukan ini, kedah merotan atau marah akan dielakkan kerana cara berkenaan langsungtidak merangsang perkembangan anak autisme.

Kaedah berkenaan boleh dilakukan sama ada di rumah atau pusat bertauliah. Misalnya, kaedah memberikan ganjaran kepada anak autisme jika berkelakuan baik dan tidak diberi perhatian atau pujian apabila melakukan kesalahan.

“Namun, berbeza di negara ini apabila ibu bapa lebih suka memarahi dan memberi perhatian kepada anak yang nakal berbanding ketika mereka melakukan kebaikan,” katanya.

Fakta

Menurut Institut Kesihatan Kanak-kanak & Pembangunan Manusia Kebangsaan (NICHF), terdapat beberapa tingkah laku yang jelas dapat dilihat pada anak autisme, antaranya:

  1. Tiada bebelan atau rengekan pada usia 12 bulan.
  2. Tidak menunjukkan gerak isyarat seperti melambai.
  3. Tidak mengeluarkan sebarang perkataan pada usia 16 bulan.
  4. Tidak mampu menyambung dua perkataan dalam ayat pada usia 24 bulan.
  5. Kehilangan kemahiran bahasa pada sebarang usia.

Petunjuk lain tingkah laku anak autisme (Robins, Fein, Barton & Green, 2001) ialah:

  1. Tidak menunjukkan minat pada sesuatu perkara.
  2. Tidak menunjukkan gerak balas apabila nama dipanggil.
  3. Tidak menunjukkan minat atau bergaul dengan kanak-kanak lain.
  4. Tidak membawa objek kepada orang dewasa.
  5. Tidak melihat kepada objek yang ditunjukkan oleh orang dewasa.
  6. Tidak dapat meniru pergerakan orang dewasa.